Showing posts with label Data Keluaran Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Data Keluaran Malaysia. Show all posts

Terangkan tiga kegunaan data pendapatan negara..........[6]

Tiga kegunaan data pendapatan negara ialah

Alat pengukur jumlah keluaran pelbagai sektor ekonomi
Dalam penghitungan pendapatan negara mengikut kaedah keluaran, sumbangan setiap sektor ekonomi terhadap Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dapat diukur. Berdasarkan sumbangan setiap sektor, kepentingan setiap sektor terhadap pertumbuhan ekonomi negara dapat ditentukan. Di samping itu, data pendapatan negara juga dapat menunjukkan kadar pertumbuhan jumlah keluaran setiap sektor dari tahun ke tahun, iaitu sama ada meningkat atau merosot berbanding dengan tahun sebelumnya.

Alat pengukur kadar pertumbuhan ekonomi
Dengan membandingkan data pendapatan negara benar antara tahun semasa dengan tahun sebelumnya, kadar pertumbuhan ekonomi dapat diukur. Sekiranya kadar pertumbuhan ekonomi meningkat, ini bermakna kegiatan ekonomi negara tersebut semakin baik. Sebaliknya, jika kadar pertumbuhan ekonomi menurun, ini bermakna kegiatan ekonomi negara tersebut merosot. Setiap negara akan berusaha untuk mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi dengan menjalankan dasar-dasar tertentu.

Asas membuat perancangan ekonomi
Data pendapatan negara pada masa kini dan masa lepas dapat memberi maklumat penting mengenai ciri-ciri kegiatan ekonomi sesebuah negara. Maklumat ini dapat digunakan sebagai asas untuk membuat ramalan tentang kadar pertumbuhan ekonomi yang akan dicapai pada masa depan, perkembangan pelaburan dan eksport serta jangkaan pertumbuhan guna tenaga.

Struktur Ekonomi Malaysia

Sektor Utama

Merangkumi sektor-sektor pertanian, perhutanan, perikanan, penternakan, dan perlombongan yang mengeluarkan bahan mentah.

Sektor Peringkat Kedua

Terdiri daripada sektor perkilangan dan pembinaan yang memproses bahan mentah untuk menjadi barang separuh siap atau barang siap.

Sektor Peringkat Ketiga

Merangkumi pelbagai sektor perkhidmatan seperti elektrik, gas dan air, pengangkutan, penyimpanan dan perhubungan, perkhidmatan kerajaan dll.

Perubahan Struktur Ekonomi Malaysia

Kajian perubahan struktur ekonomi Malaysia perlu dibuat berdasarkan sumbangan setiap sektor ekonomi kepada KDNK dan guna tenaga Malaysia melalui masa. Berkaitan dengan perkembangan guna tenaga di Malaysia, kadar pengangguran adalah pada paras yang rendah dan terkawal. Sektor pembuatan dan perkhidmatan bukan kerajaan merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan guna tenaga di Malaysia sejak tahun 1980-an.

Malaysia mampu mengharungi cabaran perkembangan ekonomi global yang semakin menurun sejak awal tahun 2001 kerana struktur ekonomi yang lebih pelbagai (diversified). Malaysia tidak semata-mata bergantung pada industri elektronik untuk menjana pertumbuhan. Asas sektor pembuatan Malaysia kini lebih luas. Selain itu, ekonomi Malaysia telah maju ke arah kegiatan berasaskan pengetahuan sebagai punca pertumbuhan baru. Koridor Raya Multimedia (MSC) telah meletakkan asas bagi membawa negara ke arah perkembangan dalam era ke-21.

Meskipun persekitaran luaran kian sukar, asas struktur ekonomi Malaysia masih kukuh dengan pertumbuhan ekonomi mulai tahun 2002 dijana oleh sektor domestik melalui peningkatan penggunaan dan pelaburan untuk merangsang pertumbuhan sektor pembuatan, perkhidmatan mahupun sektor pertanian dan perhutanan dll.

Sumbangan Sektor Utama

Status Sumbangan

Sumbangan sektor utama kepada KDNK dan guna tenaga Malaysia telah semakin berkurangan semenjak tahun 1970.

Kadar pertumbuhan purata KDNK sektor pertanian dan perhutanan adalah rendah, iaitu sebesar 4.4% dan 0.5% sahaja mengikut RRJP1 (1971-1990) dan RRJP2 (1991-2000) masing-masing. Kadar pertumbuhan purata mengikut sasaran RRJP3 (2001-2010) dianggarkan 3.5%.

Sebab-Sebab Kemerosotan sumbangan sektor utama

  1. Ketidakstabilan harga komoditi utama.
  2. Daya pengeluaran yang rendah.
  3. Keupayaan menyerap guna tenaga yang rendah.
  4. Pendapatan yang lebih rendah.
  5. Kepupusan sumber asli.

Penurunan sumbangan sektor pertanian tidak dapat dielakkan kerana ketidakstabilan harga komoditi utama, kehausan sumber asli, dan daya pengeluaran yang lebih rendah. Namun begitu, Malaysia menegaskan dasar pembangunan seimbang dan bersepadu dalam sektor-sektor perkilangan dan pertanian untuk mencapai ekonomi yang lebih saksama. Ini kerana sektor pertanian adalah sangat penting sebagai sumber utama pembekalan makanan kepada rakyat tempatan serta sumber bahan mentah yang penting kepada pertumbuhan sektor perindustrian dalam negara.

Sumbangan Sektor Peringkat Kedua

Status Sumbangan

Sumbangan Sektor Peringkat Kedua (terutamanya sektor perkilangan) kepada KDNK dan guna tenaga Malaysia telah semakin bertambah semenjak tahun 1970 dan telah menjadikannya sebagai penggerak utama pertumbuhan ekonomi Malaysia pada masa kini.

Kadar pertumbuhan purata KDNK sektor pembuatan (perkilangan) adalah tinggi, iaitu sebesar 10.3% mengikut RRJP1 (1971-1990) dan 10.4% mengikut RRJP2 (1991-2000). Kadar pertumbuhan purata mengikut sasaran RRJP3 (2001-2010) dianggarkan lebih rendah, ialah 8.3% kerana kemerosotan ekonomi Malaysia khasnya sektor kecil elektronik mulai awal tahun 2001.

Peningkatan dalam sumbangan sektor pembuatan tidak dapat dielakkan kerana tingkat pendidikan yang semakin naik dan sikap penduduk negara Malaysia yang cenderung memilih pekerjaan dalam sektor yang memberikan pendapatan yang lebih stabil dan lebih tinggi.

Sebab-Sebab Peningkatan Sumbangan Sektor Peringkat Kedua

  1. Kestabilan harga barang perkilangan.
  2. Daya pengeluaran yang tinggi.
  3. Keupayaan menyerap guna tenaga yang tinggi.
  4. Pendapatan yang lebih tinggi.
  5. Saiz pasaran barang keluaran yang lebih besar.

Faktor-Faktor Perkembangan Sektor Perkilangan Di Malaysia

  1. Galakan Kerajaan
    Galakan Pelaburan seperti pengecualian cukai pendapatan dan cukai input dan kemudahan infrastruktur.
  2. Kestabilan Politik dan Ekonomi
    Ini menggalakkan pelaburan terutamanya dalam sektor perkilangan yang mempunyai daya pengeluaran yang tinggi.
  3. Pertambahan Pelaburan Langsung Asing (FDI)
    Kemasukan FDI yang banyak ke sektor perkilangan meningkatkan keupayaan pengeluaran dan jumlah keluaran.
  4. Perkembangan Industri Sokongan
    Sokongan institusi kewangan telah menambahkan modal pinjaman kepada sektor perkilangan. Perkembangan jaringan pengangkutan yang baik juga menggalakkan perkembangan sektor perkilangan.

Sebab-Sebab Sumbangan Sektor Perkilangan Terhadap KDNK Malaysia Semakin Meningkat

  1. Dasar Galakan Industri Berasaskan Eksport
    Berlakunya perkembangan sektor perkilangan kesan pertumbuhan sektor perkilangan berorientasikan eksport, contohnya industri makanan, minuman dan tembakau kesan dasar galakan industri berasaskan eksport yang diperkenalkan pada tahun 1970-an.
  2. Pelan Induk Perindustrian dan Dasar Industri Berat
    Berlaku perkembangan sektor perkilangan kesan pertumbuhan pesat industri berat dan elektronik kesan pelan induk perindustrian dan dasar industri berat yang diperkenalkan pada tahun 1980-an.
  3. Dasar Galakan Pelaburan Asing dan Perkembangan Pesat Sektor berasaskan Elektrik dan Elektronik
    Berlaku perkembangan sektor perkilangan disebabkan pertumbuhan pesat sektor berasaskan pertumbuhan pesat sektor berasaskan elektrik dan elektronik pada tahun 1990-an kesan dasar galakan pelaburan asing dan perkembangan pesat sektor berasaskan elektrik dan elektronik.

Kebaikan Perkembangan Pesat Sektor Perkilangan

  1. Keluaran Negara dan Pendapatan Negara meningkat dengan lebih cepat.
    Pertumbuhan ekonomi dan pertumbuhan kebajikan meningkat.
  2. Peluang pekerjaan bertambah dan Pengangguran berkurangan.
    Sektor perkilangan dapat menyerap ramai guna tenaga.
  3. Eksport negara meningkat.
    Peningkatan mendadak eksport barang elektronik dan elektrik serta tekstil.
  4. Ekonomi negara menjadi lebih stabil.
    Harga barang perkilangan lebih stabil berbanding harga komoditi utama.
  5. Kemasukan Teknologi moden
    Perpindahan teknologi asing akibat pertambahan pelaburan asing.

Keburukan Perkembangan Pesat Sektor Perkilangan

  1. Berlakunya defisit akaun semasa.
    Bayaran pendapatan pelaburan asing dan bayaran import barangan meningkat.
  2. Inflasi mungkin berlaku.
    Inflasi tolakan kos akibat kenaikan upah ketika guna tenaga penuh.
  3. Kemasukan pekerja asing yang banyak.
    Permintaan tenaga buruh yang banyak menyebabkan sektor perkilangan mengambil ramai pekerja asing atas dasar meminimumkan bayaran upah.

Sumbangan Sektor Peringkat Ketiga

Status Sumbangan

Sumbangan sektor peringkat ketiga kepada KDNK dan guna tenaga Malaysia tetap merupakan sumbangan terbesar semenjak tahun 1970, iaitu di sekitar 40%-48% pada ahun 1970-2000.

Peningkatan dalam sumbangan sektor perkhidmatan tidak dapat dielakkan kerana tingkat pendidikan yang semakin naik dan sikap penduduk negara Malaysia yang cenderung memilih pekerjaan dalam sektor yang memberikan pendapatan yang lebih stabil dan lebih tinggi.

Sebab-Sebab Peningkatan Sumbangan Sektor Peringkat Ketiga

  1. Kestabilan harga barang perkhidmatan.
  2. Daya pengeluaran yang tinggi.
  3. Keupayaan menyerap guna tenaga yang tinggi.
  4. Pendapatan yang lebih tinggi.
  5. Saiz pasaran barang keluaran yang lebih besar.

Kadar pertumbuhan purata KDNK sektor perkhidmatan adalah tinggi, iaitu sebesar 8% dan 8.3% mengikut RRJP1 (1971-1990) dan RRJP2 (1991-2000) masing-masing. Kadar pertumbuhan purata mengikut sasaran RRJP3 (2001-2010) dianggarkan 8.4%.