Makroekonomi STPM

Your Ad Here

Terangkan tiga langkah bagaimana dasar kewangan dapat mengatasi masalah inflasi dalam sesebuah ekonomi---[6]

Langkah-langkah dasar kewangan untuk mengatasi masalah inflasi adalah dengan mengurangkan penawaran wang dan menaikkan kadar bunga di pasaran. Tiga daripadanya ialah:

Menaikkan nisbah rizab berkanun
Semasa inflasi, bank pusat akan menaikkan nisbah rizab berkanun terhadap simpanan bank perdagangan di bank pusat. Ini menyebabkan keupayaan bank perdagangan untuk memberi pinjaman berkurang. Kuasa beli masyarakat akan berkurang dan permintaan agregat masyarakat turut berkurang. Maka, inflasi dapat diatasi.

Menaikkan kadar bank atau kadar diskaun
Semasa inflasi, bank pusat akan menaikkan kadar bank terhadap pinjaman yang diberikan kepada bank perdagangan. Apabila bank pusat menaikkan kadar bank, ini akan menyebabkan bank perdagangan menaikkan kadar bunga terhadap pinjaman orang ramai. Kadar bunga yang tinggi menyebabkan kos meminjam meningkat dan pinjaman akan berkurang. Perbelanjaan isi rumah turut berkurang. Maka, inflasi dapat diatasi.

Menjual surat jaminan kerajaan
Semasa inflasi, bank pusat akan menjual surat jaminan kerajaan kepada bank perdagangan dan orang ramai. Ini akan menyebabkan penawaran wang berkurang dalam masyarakat. Kuasa beli masyarakat akan berkurang dan permintaan agregat masyarakat turut berkurang. Maka, inflasi dapat diatasi.

Bagaimanakah kadar pertukaran mata wang asing ditentukan dalam sistem kadar pertukaran boleh ubah? --- [6]

Kadar pertukaran mata wang asing dalam sistem kadar pertukaran boleh ubah ditentukan melalui interaksi antara permintaan dengan penawaran mata wang asing di pasaran.


Rajah di atas menunjukkan kadar pertukaran antara Ringgit Malaysia dengan Dolar Amerika Syarikat. Keseimbangan dicapai pada titik E apabila keluk permintaan Dolar US (DD) bersilang dengan keluk penawaran Dolar US (SS) pada kadar pertukaran US$1.00 = RM3.60.

Andaikan kadar pertukaran meningkat menjadi US$1.00 = RM3.80. Ini bermakna Ringgit Malaysia mengalami susut nilai. Ini menyebabkan wujud lebihan penawaran Dolar US sebanyak Q2Q1 di pasaran. Lebihan penawaran Dolar US menyebabkan kadar pertukaran turun sehingga mencapai keseimbangan semula pada titik E apabila DD = SS pada kadar pertukaran US$1.00 = RM3.60.

Andaikan kadar pertukaran turun menjadi US$1.00=RM3.40. Ini bermakna Ringgit Malaysia mengalami naik nilai. Ini menyebabkan wujud lebihan permintaan Dolar US sebanyak Q2Q1 di pasaran. Lebihan permintaan Dolar US menyebabkan kadar pertukaran naik sehingga mencapai keseimbangan semula pada titik E apabila DD = SS pada kadar pertukaran US$1.00 = RM3.60.

Dengan memberikan rajah yang sesuai, terangkan perbezaan antara permintaan wang untuk tujuan urus niaga dengan permintaan wang untuk tujuan spekulasi..........[6]


Permintaan wang untuk tujuan urus niaga merupakan permintaan wang untuk membeli barang dan perkhidmatan. Permintaan wang untuk tujuan urus niaga dipengaruhi oleh pendapatan negara. Semakin tinggi pendapatan negara, semakin tinggi permintaan wang untuk tujuan urus niaga. Ini dapat ditunjukkan pada rajah (a). Pada pendapatan negara Y0, permintaan wang untuk tujuan urus niaga ialah M0. Apabila pendapatan negara meningkat ke Y1, permintaan wang untuk tujuan urus niaga meningkat ke M1. Ini bermakna wujud hubungan positif antara permintaan wang untuk tujuan urus niaga dengan pendapatan negara.

Permintaan wang untuk tujuan spekulasi merupakan permintaan wang untuk mendapat keuntungan dengan membeli bon pada harga rendah dan menjual semula pada harga tinggi. Permintaan wang untuk tujuan spekulasi dipengaruhi oleh kadar bunga. Semakin tinggi kadar bunga, semakin rendah harga bon dan permintaan wang untuk tujuan spekulasi akan berkurang. Sebaliknya, semakin rendah kadar bunga, semakin tinggi harga bon dan permintaan wang untuk tujuan spekulasi akan meningkat. Ini dapat ditunjukkan pada rajah (b). Pada kadar bunga yang tinggi, iaitu r0, permintaan wang untuk tujuan spekulasi ialah M0. Apabila kadar bunga turun ke r1, permintaan wang untuk tujuan spekulasi meningkat ke M1. Ini menunjukkan wujud hubungan negatif antara permintaan wang untuk tujuan spekulasi dengan kadar bunga.