Showing posts with label Konsep Pendapatan Negara. Show all posts
Showing posts with label Konsep Pendapatan Negara. Show all posts

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)

Definisi KDNK
Keluaran dalam negara kasar ialah jumlah nilai barang akhir dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh faktor pengeluaran dalam sesebuah negara dalam tempoh satu tahun.

Penghitungan KDNK
KDNK dihitung dengan menjumlahkan nilai keluaran yang dikeluarkan oleh semua faktor pengeluaran yang terdapat di dalam negara tetapi tidak mengambil kira nilai keluaran yang dihasilkan oleh faktor rakyat tempatan di luar negara.

KDNK menghitung nilai output yang dihasilkan oleh faktor pengeluaran dalam negara bagi jangka masa setahun, tanpa mengira faktor pengeluaran tersebut milik negara itu atau milik negara asing.

KDNK mengambil kira nilai sumbangan keluaran faktor tempatan dan faktor asing di negara itu (BL).

Keluaran Negara Kasar (KNK)

Definisi KNK
Keluaran Negara Kasar ialah jumlah nilai barang akhir dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh faktor pengeluaran yang dimiliki warganegara sesebuah negara dalam tempoh satu tahun.

Penghitungan KNK
KNK dihitung dengan menjumlahkan nilai keluaran yang dikeluarkan oleh faktor yang dimiliki oleh rakyat tempatan sama ada di dalam atau di luar negara.

KNK menghitung nilai output yang dihasilkan oleh faktor pengeluaran negara itu bagi jangka masa setahun, tanpa mengira faktor pengeluaran beroperasi di negara itu atau di negara asing.

KNK mengambil kira nilai sumbangan keluaran faktor tempatan di negara itu dan juga di negara asing (YL).

KNK = KDNK + PFBLN

PFBLN merupakan nilai bersih pendapatan faktor milik negara setelah ditolak pendapatan faktor asing dalam negara.

Pendapatan Faktor Bersih Dari Luar Negara

Pendapatan Faktor Bersih Dari Luar Negara (Yb)

Pendapatan faktor bersih dari luar negara ialah perbezaan antara nilai pendapatan faktor milik negara yang diterima daripada negara asing dengan nilai pendapatan faktor asing dalam negara.

Yb merujuk kepada pendapatan faktor pengeluaran yang diterima dari luar negara ditolak dengan pendapatan yang diterima oleh faktor pengeluaran negara lain yang digunakan di dalam negara.


Pendapatan Faktor Bersih Dari Luar Negara (YB) = Pendapatan Faktor Dari Luar Negara (YL) − Bayaran Faktor Ke Luar Negara (BL)

Apabila pendapatan faktor pengeluaran yang diterima dari luar negara melebihi pendapatan faktor pengeluaran negara lain yang digunakan di dalam negara, nilai pendapatan faktor bersih dari luar negara (YB) adalah postitf. Ini bermaksud KNK melebihi KDNK. Ini lazimnya berlaku di negara-negara maju seperti Jepun dan Amerika yang banyak membuat pelaburan di luar negara.

Sebaliknya, jika pendapatan faktor pengeluaran milik negara lain yang digunakan di dalam negara melebihi pendapatan faktor pengeluaran yang diterima dari luar negara, nilai pendapatan faktor bersih dari luar negara (YB) adalah negatif. Ini bermaksud KNK kurang daripada KDNK. Ini lazimnya berlaku di negara-negara kurang maju yang banyak menerima pelaburan dari luar negara.

KNK = KDNK + YB = KDNK + YL − BL
KDNK = KNK − YB = KDNK − YL + BL
YB bernilai positif akan menyebabkan KNK melebihi KDNK.
YB bernilai negatif akan menyebabkan KNK kurang daripada KDNK

Pendapatan negara

Pendapatan Negara ialah jumlah nilai barang akhir dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh sesebuah negara dalam tempoh satu tahun.

Pendapatan Negara menunjukkan jumlah nilai pendapatan yang diterima oleh faktor-faktor pengeluaran yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran barangan yang poduktif.

Ia meliputi pendapatan faktor seperti sewa, faedah bersih, upah, untung syarikat, dan pendapatan perusahaan persendirian.

Konsep Nilai Bersih

Susut nilai
Susust nilai merupakan keusangan nilai yang dialami barang modal.

Keluaran Negara Bersih (KNB)

Definisi KNB
Keluaran negara bersih ialah pendapatan negara yang telah ditolak dengan susut nilai.

Penghitungan KNB
Nilai KNB diperoleh dengan menolak susut nilai daripada Keluaran Negara Kasar.

KNB ditakrifkan sebagai KNK yang telah ditolak susut nilai (elaun penggunaan modal):

KNB = KNK − Susut Nilai

Barang modal seperti mesin dan komputer digunakan untuk menambahkan daya pengeluaran dan jumlah keluaran.

Apabila barang modal lama digunakan ataupun sudah rosak melalui masa, daya pengeluarannya dan jumlah keluaran negara akan berkurangan.

KNB ialah pendapatan negara yang menunjukkan daya pengeluaran dan keluaran negara yang sebenarnya.

Penolakan susut nilai barang modal dalam perakaunan pendapatan negara akan dapat memberikan gambaran sebenar tentang keluaran negara.

Harga Pasar dan Kos Faktor

Harga Pasar (HP)

Harga barang akhir dan perkhidmatan yang dijual di pasaran.

HP telah dicampurkan cukai tak langsung (CTL) dan telah ditolak subsidi (SUB).

CTL

CTL ialah cukai yang dibayar oleh pembayar cukai kepada kerajaan secara tak langsung. Ia termasuk cukai eksport, cukai import, cukai perkhidmatan dll. CTL meningkatkan harga pasaran.

SUB

SUB ialah bantuan kewangan kepada pengeluar industri muda dan industri utama dalam negara. SUB mengurangkan harga pasaran.

Kos Faktor (KF)

Harga barang akhir dan perkhidmatan yang dinilai mengikut harga yang dibayar oleh pengeluar kepada faktor-faktor pengeluaran; harga barangan yang belum dipasarkan.

KF belum dicampurkan cukai tak langsung (CTL) dan belum ditolak subsidi (SUB).

KDNKHP = KDNKKF + CTL − SUB
KNKHP = KNKKF + CTL − SUB
KNBHP = KNBKF + CTL − SUB

KDNKKF = KDNKHP − CTL + SUB
KNKKF = KNKHP − CTL + SUB
KNBKF = KNBHP − CTL + SUB

Jika kerajaan tidak bercampur tangan dalam istem pasaran bebas, maka tidak wujud CTL dan SUB, maka

KDNKHP = KDNKKF
KNKHP = KNKKF
KNBHP = KNBKF

Pendapatan Nominal

Pendapatan Nominal (Y1)

Y1 adalah nilai keluaran negara mengikut harga pada tahun semasa.

Pendapatan negara mengikut harga semasa.

Ia dipengaruhi oleh perubahan dalam kuantiti keluaran (Q) dan perubahan dalam tingkat harga umum (P).

Pendapatan Benar

Pendapatan Benar (Y0)

Y0 adalah nilai keluaran negara mengikut harga pada tahun asas.

Pendapatan negara mengikut harga tetap.

Tahun asas ialah satu tahun yang dipilih sebagai asas perbandingan bagi perubahan tingkat harga umum.

Indek harga bagi tahun asas, IH0 = 100. Ini bermakna tingkat harga umum tidak berubah.

Ia tidak dipengaruhi oleh perubahan dalam tingkat harga umum (P) melalui masa kerana ia dikira mengikut harga tetap pada tahun asas. Ia hanya dipengaruhi oleh perubahan dalam jumlah keluaran (Q).

Penghitungan pendapatan negara mengikut harga tetap ialah penghitungan pendapatan negara benar, iaitu jumlah nilai keluaran akhir yang benar-benar dinikmati oleh rakyat dalam negara.

Peningkatan dalam pendapatan negara benar bermakna peningkatan taraf hidup rakyat.

Y0 = IH0 ⁄ IH1 × Y1

IH1 dinamakan pendeflasi atau pendeflator

Semasa inflasi, IH1 > IH0.

Semasa kemelesetan ekonomi, IH1 < IH0.

Keluaran Negara Nominal dan Benar

Keluaran Negara Nominal

Keluaran negara nominal ialah jumlah nilai keluaran negara yang dinilai berdasarkan nilai wang pada tahun semasa.

Nilai Keluaran Negara nominal diperoleh dengan mendarabkan kuantiti keluaran negara dengan harga keluaran.

Keluaran Negara Benar

Keluaran Negara Benar ialah jumlah nilai keluaran negara yang diukur berdasarkan nilai harga suatu tahun asas.

Nilai Keluaran Negara benar diperoleh dengan mengukur nilai keluaran negara bagi tahun semasa pada nilai harga tetap suatu tahun asas tertentu.

Nilai Keluaran Negara Benar tidak dipengaruhi oleh kenaikan tingkat harga umum.

Rumus Mengira Keluaran Negara Benar

Keluaran Negara Benar = (Indeks harga tahun asas / Indeks harga tahun semasa) × Keluaran Negara Nominal

Kaedah Jadual Menghitung Keluaran Negara Benar

TahunKeluaran Negara Nominal (RM juta)Indeks Harga PenggunaKeluaran Negara Benar
(RM juta)
1600100(600/100) × 100 = 600
2750120(750/120) × 100 = 625

Keluaran Negara Benar telah meningkat sebanyak [(625 − 600)/600] × 100% = 4.17% pada tahun 2. Ini menunjukkan pertambahan dalam kuantiti barangan dan bukannys kenaikan tingkat harga umum.

Konsep Pendapatan Individu

Pendapatan Persendirian / Perseorangan (PP)

Pendapatan Persendirian / Perseorangan ialah jumlah nilai pendapatan yang diterima oleh semua individu dalam sesebuah negara dalam satu jangka masa tertentu, biasanya dalam masa satu tahun, sama ada daripada kegiatan produktif atau tidak produktif.

Ini termasuk

Pendapatan Faktor seperti sewa, bunga bersih, upah dan gaji, untung kepada pengusaha dan pendapatan perusahaan persendirian.

Bayaran Pindahan (bayaran bukan atas sumbangan faktor pengeluaran produktif) seperti bayaran pencen, biasiswa, zakat, elaun pengangguran. elaun suri rumah, bunga atas pinjaman kerajaan, dan bunga atas pinjaman pengguna.

Bunga atas modal (bunga bersih) yang diguna pakai dalam penghitungan pendapatan negara tidak termasuk bunga atas pinjaman kerajaan dan bunga atas pinjaman pengguna kerana kedua-dua bunga ini bukan bertujuan untuk membuat pelaburan / tabungan, iaitu tidak menyumbang kepada tambahan keluaran negara. Namun kedua-dua jenis bunga ini perlu dicampurkan dalam akaun PP kerana merupakan pendapatan kepada individu yang telah mengeluarkan pinjaman kepada pihak-pihak berkenaan.

Pendapatan negara mengambil kira untung yang dibahagikan (dividen dll), untung yang tidak dibahagikan (rizab syarikat dll), dan cukai keuntungan syarikat. Namun begitu, hanya untung yang dibahagikan (keuntungan kepada individu yang menyumbangkan modal) akan diambil kira dalam penghitungan PP. Untung yang tidak dibahagikan dan cukai keuntungan syarikat ditolak daripada akaun PP kerana tidak dibayar kepada individu yang telah menyumbangkan modal dalam perniagaan firma untuk tujuan perbelanjaan semasa.

Caruman KWSP bukan Pendapatan Persendirian kerana caruman ini tidak boleh digunakan oleh individu selagi tidak dikeluarkan.

Hubungan Antara Pendapatan Negara dengan Pendapatan Persendirian:

Pendapatan Negara = Pendapatan persendirian + Untung tidak dibahagikan + Cukai keuntungan syarikat + Caruman KWSP − Bayaran pindahan − Bunga atas pinjaman kerajaan − Bunga atas pinjaman pengguna


Pendapatan Persendirian = Pendapatan Negara + Bayaran pindahan + Bunga atas pinjaman kerajaan + Bunga atas pinjaman pengguna − Untung tidak dibahagikan − Cukai keuntungan syarikat − Caruman KWSP


Pendapatan Boleh Guna (Yd)

Pendapatan Boleh Guna ialah jumlah pendapatan yang diterima oleh semua individu dalam sesebuah negara setelah ditolak cukai pendapatan perseorangan.

Pendapatan Boleh Guna boleh digunakan untuk perbelanjaan dan tabungan.

Pendapatan Boleh Guna ialah Pendapatan Perseorangan yang dapat dibelanjakan oleh isi rumah terhadap barang dan perkhidmatan selepas ditolak cukai pendapatan perseorangan dalam satu jangka masa tertentu.

Rumus Menghitung Pendapatan Boleh Guna

Pendapatan Boleh Guna = Pendapatan Perseorangan − Cukai Pendapatan Perseorangan

Menghitung Pendapatan Boleh Guna Dengan Kaedah Jadual

ButiranRM juta
Upah dan gaji
Bunga bersih
Sewa
Pendapatan perusahaan persendirian
Dividen
Untung tidak dibahagikan
Cukai keuntungan syarikat
640
260
100
120
140
80
150
Pendapatan Negara
(+) Bayaran Pindahan
(+) Bunga pinjaman kerajaan
(+) Bunga pinjaman pengguna
(−) Untung tidak dibahagikan
(−) Cukai keuntungan syarikat
(−) Caruman KWSP
1,490
500
200
150
140
80
150
Pendapatan Perseorangan
(−) Cukai pendapatan perseorangan
1,970
1,120
Pendapatan Boleh Guna850

Berdasarkan jadual, Pendapatan Negara hanya mengambil kira pendapatan yang diterima oleh faktor produktif sahaja, iaitu sebanyak RM1,490 juta. Pendapatan Perseorangan mengambil kira semua pendapatan yang sebenarnya diterima oleh penduduk tanpa mengira sama ada pendapatan tersebut diterima daripada faktor produktif atau faktor tidak produktif, iaitu sebanyak RM1,970 juta. Pendapatan Boleh Guna sebanyak RM850 juta diperoleh dengan menolak cukai pendapatan perseorangan (RM1,120 juta) daripada Pendapatan Perseorangan (RM1,970 juta).

Pendapatan Per Kapita

Pendapatan Per Kapita (PPK)

Pendapatan Per Kapita ialah pendapatan purata penduduk-penduduk dalam sebuah negara pada tahun tertentu.

Rumus Mengira Pendapatan Per Kapita

Pendapatan per kapita bagi sesebuah negara diperoleh dengan membahagikan pendapatan negara pada suatu tahun dengan jumlah penduduk dalam negara tersebut pada tahun yang sama.

Pendapatan Per Kapita = Pendapatan Negara / Jumlah Penduduk

Sebagai contoh, jika pendapatan negara M pada satu tahun berjumlah RM1,000,000 dan jumlah penduduk ialah 1,000 orang, maka

Pendapatan Per Kapita = Pendapatan Negara / Jumlah Penduduk
= RM1,000,000 / 1,000 = RM1,000


Berdasarkan contoh, pendapatan per kapita negara M bernilai RM1,000, bermaksud pendapatan purata bagi setiap penduduk pada tahun itu ialah RM1,000 setahun.



Kelemahan Pendapatan Per Kapita sebagai Pengukur Taraf Kebajkan

  1. Ia tidak mengambil kira corak pengagihan pendapatan dalam masyarakat.

    Walaupun pendapatan per kapita benar meningkat, taraf hidup rakyat tidak meningkat jika corak pengagihan pendapatan dalam masyarakat adalah tidak setara.
  2. Ia tidak mengambil kira kualiti barang.

    Jika pendapatan per kapita benar meningkat tetapi kualiti barang jatuh, maka pertumbuhan kebajikan (taraf hidup) masyarakat akan jatuh.
  3. Ia tidak mengambil kira kesan luaran yang negatif.

    Jika pendapatan per kapita benar meningkat, pertumbuhan kebajikan masyarakat akan jatuh jika berlaku masalah pencemaran dalam ekonomi.

    Kesan luaran yang negatif akan merosakkan alam sekitar dan menjejaskan taraf hidup masyarakat.

Keluaran Negara Kasar (KNK) Benar Per Kapita

Definisi
Jumlah nilai keluaran berdasarkan harga tetap bagi setiap penduduk dalam sesebuah negara.

KNK Benar per kapita = KNK benar / Jumlah penduduk

KNK benar per kapita dihitung dengan membahagikan nilai KNK benar dengan jumlah penduduk sesebuah negara bagi satu tahun tertentu.

Contoh:
KNK nominal = RM10,000 juta
Indeks harga semasa = 110
Jumlah penduduk =15 juta

KNK benar = 10,000 × 100/110 = RM9090.9 juta

KNK benar per kapita = RM9090.9 juta/15 juta = RM606.06

Tujuan menghitung KNK benar per kapita
  1. Menggambarkan taraf hidup rakyat sesebuah negara. Semakin tinggi KNK benar per kapita, semakin tinggi taraf hidup rakyat negara tersebut.

  2. Membandingkan taraf hidup antara negara.

  3. Menggambarkan pertumbuhan kebajikan masyarakat dari tahun ke tahun.


Kadar Pertumbuhan Kebajikan Masyarakat
= KNK benar per kapita1 – KNK benar per kapita0
KNK benar per kapita0

di mana,

KNK benar per kapita1 = KNK benar per kapita pada tahun semasa

KNK benar per kapita0 = KNK benar per kapita pada tahun sebelumnya

Rumus-Rumus Penting


KNKkf = KDNKhp + PFBLN – CTL + Subsidi

KNBhp = KDNKhp + PFBLN – Susut nilai