Showing posts with label Globalisasi. Show all posts
Showing posts with label Globalisasi. Show all posts

(a) Apakah maksud globalisasi?..........[2]
(b) Terangkan dua faedah yang dapat dinikmati sesebuah negara daripada globalisasi...........[4]


(a) Globalisasi ialah peningkatan salingan bergantungan antara negara-negara dari segi ekonomi, sosial dan politik. Globalisasi melibatkan aktiviti pengaliran barang dan perkhidmatan, wang dan modal di peringkat antarabangsa.

(b) Dua faedah yang dapat dinikmati oleh sesebuah negara daripada globalisasi ialah:
Pilihan pengguna bertambah
Globalisasi menyebabkan kemasukan barang import yang semakin meluas di pasaran. Keadaan ini menyebabkan pilihan pengguna semakin bertambah. Mereka dapat membeli barang import di dalam negara tanpa perlu mendapatkan barang tersebut dari pasaran luar negara. Persaingan antara pengeluar di pasaran akan menggalakkan pengeluar untuk meningkatkan kualiti barang yang dikeluarkan. Ini akan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Harga barang lebih murah
Kemasukan barang import yang semakin meluas di pasaran menggalakkan persaingan harga yang semakin sengit di kalangan pengeluar barang yang sama. Keadaan ini menyebabkan barang tersebut akan dijual pada harga yang lebih rendah di pasaran. Harga barang yang lebih rendah akan menguntungkan pengguna kerana kuasa beli mereka meningkat.

Definisi Globalisasi

Globalisasi ialah peningkatan saling bergantungan antara sebuah negara dengan negara lain, terutama dari segi ekonomi sehingga mewujudkan satu pasaran ekonomi dunia yang tidak dihadkan oleh sempadan negara.

Melalui globalisasi, apa yang berlaku di sesebuah negara akan mempengaruhi keadaan politik, ekonomi dan sosial negara lain.

Faktor-Faktor Menggalakkan Globalisasi

Kemajuan Sistem Komunikasi

Penggunaan alat komunikasi yang canggih seperti faksimile, telesidang dan internet telah membolehkan negara-negara di dunia memperoleh maklumat perdagangan dan ekonomi dengan cepat dan tepat. Ini seterunya telah melicinkan kegiatan perdagangan antara negara tanpa dibataskan oleh jarak dan sempadan.

Pengurangan sekatan perdagangan

Pengurangan sekatan perdagangan antara negara telah meningkatkan liberalisasi perdagangan dan memudahkan proses pembentukan perjanjian perdagangan pelbagai hala bagi memanfaatkan ekonomi negara masing-masing. Kesannya, kegiatan perdagangan dapat dijalankan dengan lebih lancar.

Kemajuan sistem pengangkutan

Kemajuan sistem pengangkutan, misalnya pembinaan jalan raya yang lebih baik dan pengangkutan udara yang meliputi kawasan yang lebih luas telah memudahkan pengangkutan barang dan faktor pengeluaran dari sebuah negara ke negara lain. Pengurangan kos pengeluaran yang dinikmati daripada penjimatan masa pengangkutan seterusnya menggalakkan kegiatan perdagangan antara negara di dunia.