Showing posts with label Dasar Makroekonomi. Show all posts
Showing posts with label Dasar Makroekonomi. Show all posts

Matlamat Dasar Makroekonomi Malaysia

Terangkan tiga matlamat dasar makroekonomi negara Malaysia. [6]

Tiga matlamat dasar makroekonomi negara Malaysia ialah:
  1. Mencapai tingkat guna tenaga penuh

    • Tingkat guna tenaga penuh tercapai apabila kadar pengangguran kurang daripada 5%, iaitu hanya berlaku pengangguran geseran sahaja dalam ekonomi.
    • Dalam keadaan ini, kegiatan ekonomi akan meningkat kerana faktor pengeluaran digunakan sepenuhnya.
    • Keluaran negara meningkat dan berlaku peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi.
    • Apabila guna tenaga penuh tercapai, KNK sebenar sama dengan KNK potensi.

  2. Mencapai kestabilan tingkat harga umum

    • Kestabilan tingkat harga umum bermakna ekonomi tidak menghadapi masalah kenaikan harga atau kejatuhan harga kurang daripada 4%.
    • Kuasa beli pengguna menjadi lebih stabil dan ini akan meningkatkan taraf hidup dan kebajikan masyarakat.
    • Kegiatan ekonomi semakin meningkat disebabkan inflasi yang terkawal dan berlaku kestabilan kadar bunga di pasaran.

  3. Meningkatkan pertumbuhan ekonomi

    • Pertumbuhan ekonomi bermakna kegiatan ekonomi semakin meningkat.
    • Ini akan meningkatkan peluang pekerjaan dan mengurangkan pengangguran.
    • Seterusnya, taraf hidup dan kebajikan masyarakat turut meningkat


Matlamat Dasar Makroekonomi

Mencapai Tingkat Guna Tenaga Penuh

Guna tenaga penuh merujuk kepada :

  1. keadaan di mana jumlah pengangguran adalah minimum dan jumlah pendapatan negara adalah tinggi.
  2. keadaan di mana kadar pengangguran berada pada paras yang sangat rendah, iaitu kurang daripada 4%.
  3. keadaan di mana semua faktor pengeluaran digunakan.

Pencapaian tingkat guna tenaga penuh bererti :

  1. keluaran negara akan mencapai tahap maksimum.
  2. kebajikan masyarakat akan mencapai tahap maksimum
  3. Sumber ekonomi digunakan dengan cekap dan tiada pengangguran.


Mengekalkan Kestabilan Tingkat Harga Umum

Tingkat harga umum perlu berada pada paras stabil dan kadar inflasi kekal rendah dan terkawal.

Kenaikan harga atau inflasi :

  1. mengurangkan pendapatan benar/ menjejaskan kuasa beli wang.
  2. menjejaskan eksport negara.
  3. menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
  4. menurunkan tingkat kebajikan masyarakat.

Kejatuhan harga atau deflasi :

  1. menjejaskan tingkat pelaburan.


Mencapai Pertumbuhan Ekonomi Berterusan

Pertumbuhan ekonomi menunjukkan kenaikan KDNK benar. Pertumbuhan ekonomi perlu mencapai kadar yang memuaskan dari tahun ke tahun dengan mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang positif.

Kepentingannya:

  • meningkatkan taraf kebajikan penduduk,
  • mewujudkan banyak peluang pekerjaan,
  • mengatasi masalah pengangguran,
  • mencerminkan keberkesanan dasar ekonomi kerajaan.


Membaiki Imbangan Pembayaran

Imbangan pembayaran diperbaiki dengan menambahkan jumlah eksport dan mengurangkan jumlah import.

Imbangan pembayaran lebihan/ positif/ lebih baik :

  1. menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.
  2. meningkatkan rizab pertukaran asing sesebuah negara.

Imbangan pembayaran defisit/ negatif/ merosot :

  1. mengurangkan pertumbuhan ekonomi negara.

Bentuk Dasar Makroekonomi

Dasar sebelah permintaan

Dasar kerajaan mempengaruhi permintaan agregat dalam negara melalui :

Dasar Fiskal (Fiscal Policy)

Dasar fiskal ialah langkah-langkah kerajaan mengubah perbelanjaan kerajaan dan struktur pencukaian untuk mempengaruhi tingkat perbelanjaan agregat dalam ekonomi.
Dasar fiskal bertujuan mencapai tingkat guna tenaga penuh dan mengawal inflasi.

Semasa masalah inflasi, kerajaan akan malaksanakan dasar fiskal menguncup, iaitu meningkatkan kadar cukai dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan bagi mengurangkan perbelanjaan agregat untuk mengatasi masalah inflasi.

Semasa masalah deflasi (kemelesetan ekonomi), kerajaan akan melaksanakan dasar fiskal mengembang, iaitu menambahkan perbelanjaan keajaan dan mengurangkan kadar cukai bagi meningkatkan perbelanjaan agregat untuk mengatasi masalah pengangguran.

Dasar Fiskal budibicara merupakan dasar kerajaan mengubah cukai dan perbelanjaan kerajaan.

Contohnya, untuk meningkatkan permintaan agregat, kerajaan menurunkan cukai dan menambahkan perbelanjaan kerajaan.

Dasar Kewangan (Monetary Policy)

Dasar kewangan ialah dasar kerajaan yang dijalankan oleh Bank Pusat untuk mengawal penawaran wang dan kadar bunga bagi mempengaruhi tingkat perbelanjaan agregat untuk mencapai tingkat guna tenaga dan mengawal inflasi.

Semasa inflasi, Bank Pusat akan menjalankan dasar kewangan menguncup, iaitu mengurangkan penawaran wang dan meningkatkan kadar bunga bagi mengurangkan perbelanjaan agregat untuk mengatasi masalah inflasi.

Semasa kemelesetan ekonomi atau deflasi, kerajaan akan menjalankan dasar kewangan mengembang, iaitu menambahkan penawaran wang dan mengurangkan kadar bunga dalam pasaran bagi meningkatkan perbelanjaan agregat untuk mengatasi masalah pengangguran.

Dasar Kawalan Langsung

Dasar kawalan langsung merupakan langkah kawalan langsung kerajaan ke atas harga, kadar upah, eksport dan import negara bagi memperbaiki imbangan pembayaran dan mengawal inflasi.

Contohnya, kerajaan boleh mengenakan kawalan harga maksimum ke atas barangan kawalan tertentu bagi mengatasi masalah inflasi.

Dasar sebelah penawaran

Dasar sebelah penawaran ialah dasar kerajaan yang mempengaruhi kegiatan ekonomi dari segi penawaran dengan meningkatkan keupayaan pengeluaran ekonomi.

Dasar sebelah penawaran bermaksud dasar kerajaan melalui pencukaian dan galakan pelaburan yang cuba meningkatkan keupayaan pengeluaran dalam ekonomi bagi meningkatkan penawaran agregat dan mencapai pertumbuhan ekonomi tanpa inflasi. Sebagai contoh, pertumbuhan ekonomi dapat ditingkatkan dengan menggalakkan lebih ramai rakyat terlibat dalam aktiviti pengeluaran tertentu.

Contoh dasar sebelah penawaran ialah insentif pengecualian cukai kepada pengeluar dan penurunan cukai import bagi input pengeluaran. Kedua-dua dasar ini akan meningkatkan penawaran agregat. Kesannya, harga menurun dan pendapatan bertambah.