Konsep Pendapatan Individu

Pendapatan Persendirian / Perseorangan (PP)

Pendapatan Persendirian / Perseorangan ialah jumlah nilai pendapatan yang diterima oleh semua individu dalam sesebuah negara dalam satu jangka masa tertentu, biasanya dalam masa satu tahun, sama ada daripada kegiatan produktif atau tidak produktif.

Ini termasuk

Pendapatan Faktor seperti sewa, bunga bersih, upah dan gaji, untung kepada pengusaha dan pendapatan perusahaan persendirian.

Bayaran Pindahan (bayaran bukan atas sumbangan faktor pengeluaran produktif) seperti bayaran pencen, biasiswa, zakat, elaun pengangguran. elaun suri rumah, bunga atas pinjaman kerajaan, dan bunga atas pinjaman pengguna.

Bunga atas modal (bunga bersih) yang diguna pakai dalam penghitungan pendapatan negara tidak termasuk bunga atas pinjaman kerajaan dan bunga atas pinjaman pengguna kerana kedua-dua bunga ini bukan bertujuan untuk membuat pelaburan / tabungan, iaitu tidak menyumbang kepada tambahan keluaran negara. Namun kedua-dua jenis bunga ini perlu dicampurkan dalam akaun PP kerana merupakan pendapatan kepada individu yang telah mengeluarkan pinjaman kepada pihak-pihak berkenaan.

Pendapatan negara mengambil kira untung yang dibahagikan (dividen dll), untung yang tidak dibahagikan (rizab syarikat dll), dan cukai keuntungan syarikat. Namun begitu, hanya untung yang dibahagikan (keuntungan kepada individu yang menyumbangkan modal) akan diambil kira dalam penghitungan PP. Untung yang tidak dibahagikan dan cukai keuntungan syarikat ditolak daripada akaun PP kerana tidak dibayar kepada individu yang telah menyumbangkan modal dalam perniagaan firma untuk tujuan perbelanjaan semasa.

Caruman KWSP bukan Pendapatan Persendirian kerana caruman ini tidak boleh digunakan oleh individu selagi tidak dikeluarkan.

Hubungan Antara Pendapatan Negara dengan Pendapatan Persendirian:

Pendapatan Negara = Pendapatan persendirian + Untung tidak dibahagikan + Cukai keuntungan syarikat + Caruman KWSP − Bayaran pindahan − Bunga atas pinjaman kerajaan − Bunga atas pinjaman pengguna


Pendapatan Persendirian = Pendapatan Negara + Bayaran pindahan + Bunga atas pinjaman kerajaan + Bunga atas pinjaman pengguna − Untung tidak dibahagikan − Cukai keuntungan syarikat − Caruman KWSP