Apakah yang dimaksudkan dengan aliran pusingan pendapatan?
Jelaskan aliran pusingan pendapatan bagi ekonomi tiga sektor.

Aliran pusingan pendapatan merujuk kepada aliran pendapatan dan perbelanjaan yang berlaku antara sektor-sektor ekonomi, iaitu sektor isi rumah, firma dan kerajaan.

Aliran pusingan pendapatan ekonomi tiga sektor melibatkan sektor isi rumah, firma dan kerajaan.

Isi rumah akan menerima pendapatan daripada firma, iaitu gaji dan upah, sewa, bunga dan untung kerana isi rumah telah menawarkan faktor pengeluaran kepada firma untuk menghasilkan barang dan perkhidmatan.

Isi rumah akan menggunakan pendapatan tersebut untuk membeli barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh firma dan ini dinamakan perbelanjaan penggunaan. Namun, sebahagian daripada pendapatan itu akan ditabungkan dalam institusi kewangan. Tabungan merupakan bocoran dalam aliran pusingan pendapatan.

Institusi kewangan akan meminjamkan tabungan isi rumah kepada pelabur untuk membuat pelaburan dalam firma. Pelaburan merupakan suntikan dalam aliran pusingan pendapatan.

Kerajaan akan mengenakan cukai terhadap isi rumah dan firma. Isir rumah dikenakan cukai pendapatan perseorangan, manakala firma dikenakan cukai keuntungan syarikat. Cukai merupakan bocoran dalam aliran pusingan pendapatan. Cukai merupakan sumber hasil kerajaan. Kerajaan akan menggunakan hasil cukai untuk membuat perbelanjaan kerajaan yang disalurkan melalui isi rumah dan firma. Misalnya, kerajaan akan membayar gaji dan upah kepada isi rumah yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan. Kerajaan pula akan membina jalan raya, jambatan, sekolah dan hospital kerajaan melalui pelaburan yang dilakukan oleh firma. Perbelanjaan kerajaan terhadap firma dan isi rumah merupakan suntikan dalam aliran pusingan pendapatan.

Oleh itu, dalam ekonomi tiga sektor, mengikut pendekatan penawaran agregat-perbelanjaan agregat., keseimbangan pendapatan negara dicapai apabila Y = C + I + G, manakala mengikut pendekatan bocoran-suntikan, keseimbangan pendapatan negara dicapai apabila S + T = I + G.