Masalah Perbandingan Pendapatan Negara Melalui Masa

Perbandingan Pendapatan Negara Melalui Masa bertujuan untuk menentukan sama ada taraf hidup rakyat telah meningkat atau menurun melalui masa.

Masalah Perbandingan Pendapatan Negara Melalui Masa wujud kerana faktor-faktor berikut yang turut mempengaruhi taraf hidup rakyat tidak diambil kira:

  1. Perubahan dalam tingkat harga umum

    Taraf hidup sesebuah negara akan meningkat apabila jumlah barangan yang dinikmati oleh rakyat bertambah. Ini ditunjukkan oleh kenaikan dalam nilai keluaran negara dan perbelanjaan negara.

    Namun begitu, keluaran negara dan perbelanjaan negara juga boleh meningkat jika tingkat harga umum telah naik, sementara jumlah barangan tetap tidak berubah.

    Untuk menghapuskan kesan perubahan tingkat harga umum, pendapatan negara benar (pendapatan negara mengikut harga tetap) digunakan.

    Y0 = IH0 / IH1 x Y1 di mana

    Y0 = pendapatan negara benar
    Y1 = pendapatan negara mengikut harga semasa
    IH0 = indeks harga pengguna tahun asas
    IH1 = indeks harga pengguna tahun semasa

  2. Perubahan dalam jumlah penduduk

    Jika jumlah penduduk negara bertambah dengan kadar yang lebih besar daripada kadar kenaikan pendapatan negara, taraf hidup rakyat akan menurun.

    Untuk menghapuskan kesan perubahan jumlah penduduk, pendapatan per kapita (PPK) digunakan.

    PPK =Pendapatan Negara / Jumlah Penduduk

  3. Perubahan dalam kualiti barang

    Perbandingan nilai pendapatan negara antara dua tahun yang berlainan tidak menggambarkan perubahan dalam kualiti barang yang turut menmpengaruhi taraf hidup.

    Peningkatan kualiti barang pada lazimnya akan membawa kepada kenaikan tingkat harga umum.

    Dalam kes ini, peningkatan tingkat harga umum akibat peningkatan kualiti barangan tidak menjejaskan taraf hidup rakyat.

    Untuk mengatasi masalah perbandingan pendapatan negara melalui masa, perubahan tingkat harga umum akibat perubahan kualiti barang harus dipastikan.

  4. Perubahan dalam pengagihan pendapatan

    Perubahan pendapatan negara melalui masa tidak menunjukkan sama ada pengagihan pendapatan menjadi lebih setara atau kurang setara.

    Pengagihan pendapatan yang lebih setara melalui masa bermaksud taraf hidup rakyat negara telah meningkat.

  5. Perubahan-perubahan lain

    Perubahan dalam jenis keluaran negara

    Pertambahan keluaran negara akibat pertambahan barang pengguna akan meningkatkan taraf hidup rakyat. Pertambahan keluaran negara akibat pertambahan senjata api tidak akan meningkatkan taraf hidup rakyat kerana tidak memberi faedah/utiliti kepada pengguna secara langsung.

    Perubahan dalam masa kerja dan masa rehat pekerja

    Jika pertambahan keluaran negara adalah akibat daripada peningkatan dalam masa kerja pekerja, taraf hidup rakyat tidak meningkat. Jika penurunan dalam keluaran negara adalah akibat daripada peningkatan dalam masa rehat pekerja, taraf hidup rakyat tidak semestinya menurun.

    Perubahan dalam eksternaliti negatif

    Jika peningkatan dalam pendapatan negara turut mengakibatkan masalah pencemaran alam sekitar, menjejaskan kesejahteraan semulajadi dll, taraf hidup rakyat tidak naik.