Kelemahan Teori Kuantiti Wang Fisher

Andaian bahawa halaju pusingan wang (V) adalah tetap berdasarkan andaian ekonomi lebih stabil dalam jangka masa pendek adalah tidak benar.
Dalam keadaan sebenar, halaju pusingan wang sentiasa berubah. Semasa inflasi, halaju pusingan wang akan meningkat dan sebaliknya, semasa deflasi, halaju pusingan wang akan merosot.

Andaian bahawa ekonomi sentiasa mencapai guna tenaga penuh dan jumlah keluaran adalah tetap adalah tidak benar.
Dalam keadaan sebenar, guna tenaga penuh jarang berlaku dalam sesebuah ekonomi. Apabila permintaan agregat bertambah semasa ekonomi melambung, jumlah keluaran akan bertambah dan kadar pengangguran akan berkurangan (dan guna tenaga penuh mungkin dicapai) dan sebaliknya, semasa ekonomi meleset, jumlah keluaran akan berkurangan dan kadar pengangguran akan meningkat.

Andaian tentang P hanya dipengaruhi oleh M adalah tidak benar. P turut dipengaruhi oleh V dan T melalui rumus P = MV / T.

Teori kuantiti wang tidak mengambil kira kesan perubahan permintaan wang terhadap tingkat harga umum. Apabila permintaan wang untuk tujuan urus niaga bertambah, V dan T akan bertambah.

Teori kuantiti wang tidak mengambil kira kesan perubahan kadar bunga terhadap tingkat harga umum.
Kejatuhan kadar bunga semasa keadaan ekonomi meleset akan meningkatkan jumlah pelaburan dan penggunaan. Ini seterusnya akan meningkatkan permintaan agregat dan menaikkan tingkat harga umum. Sebaliknya, peningkatan kadar bunga semasa inflasi akan meningkatkan tabungan dan mengurangkan pelaburan. Ini seterusnya akan mengurangkan permintaan agregat dan menurunkan tingkat harga umum.