Kaedah Pendapatan (Bayaran Faktor)

Konsep Kaedah Pendapatan

Pendapatan Negara dikira dengan menjumlahkan semua pendapatan faktor di sesebuah negara untuk tempoh setahun. Ini termasuk
  1. Gaji dan upah kepada buruh termasuk gaji bulanan, komisen, bonus dll.
  2. Sewa kepada tanah termasuk sewa kebun, sewa kilang, sewa rumah dll.
  3. Bunga bersih kepada modal termasuk faedah tabungan di bank perdagangan dan faedah sumbangan modal dalam perniagaan. Tidak termasuk bunga atas pinjaman kerajaan dan bunga atas pinjaman pengguna.
  4. Keuntungan kepada pengusaha syarikat.
  5. Pendapatan perusahaan persendirian kepada pengusaha kecil termasuk milikan perseorangan, perkongsian dan koperasi.
Bayaran pindahan tidak diambil kira kerana tidak bersifat produktif, iaitu tidak menyumbangkan sebarang barang dan perkhidmatan dalam kegiatan ekonomi.

Nilai pendapatan negara yang diperoleh dikenali sebagai Keluaran Negara Bersih pada kos faktor (KNBkf).

Kaedah Pendapatan jarang digunakan di sesetengah negara (termasuk Malaysia) kerana masalah pengumpulan maklumat.