Jenis-Jenis Pengangguran

Pengangguran didefinisikan sebagai satu keadaan apabila individu-individu yang boleh bekerja dan ingin bekerja pada satu tingkat upah tertentu gagal mendapat sebarang pekerjaan.

Pengangguran dapat dibahagikan kepada beberapa jenis seperti pengangguran bermusim, pengangguran tidak ketara dan pengangguran kitaran.

Pengangguran Bermusim

Penganguran bermusim hanya berlaku pada masa-masa tertentu sahaja dan cenderung wujud dalam sektor utama seperti sektor pertanian dan sektor perikanan.

Misalnya, semasa musim tengkujuh, para nelayan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia tidak dapat keluar ke laut untuk menangkap ikan. Oleh itu, mereka terpaksa menganggur sehingga musim tengkujuh berakhir.

Pengangguran Tidak Ketara

Pengangguran tidak ketara juga dikenali sebagai pengangguran tersembunnyi. Pengangguran ini biasanya berlaku dalam sektor pertanian.

Pengangguran tidak ketara berlaku apabila bilangan pekerja yang diambil bekerja dalam sesuatu sektor melebihi bilangan pekerja yang sebenarnya diperlukan. Lebihan pekerja yang ada tidak menyumbang kepada tingkat pengeluaran. Dalam erti kata lain, lebihan pekerja ini sebenarnya mempunyai daya pengeluaran sut sama dengan kosong.

Pengangguran Kitaran

Pengangguran kitaran wujud disebabkan perubahan yang berlaku dalam sesuatu kitaran ekonomi. Sesebuah ekonomi mungkin melambung pada mulanya, meleset dan kemudiannya melambung semual. Ekonomi mengalami kemelesetan apabila perbelanjaan agregat jatuh. Kejatuhan perbelanjaan agregat menyebabkan pengusaha-pengusaha mengurangkan permintaan terhadap tenaga buruh akibat kemerosotan pengeluaran dalam ekonomi. Pengurangan permintaan terhadap tenaga buruh secara berterusan akan menyebabkan pengangguran berlaku dalam ekonomi.