Terangkan Tiga Cara Bagaimana Dasar Kewangan Dapat Mengatasi Masalah Pengangguran………[6]

Tiga cara bagaimana dasar kewangan dapat mengatasi masalah pengangguran ialah:

Menurunkan nisbah rizab berkanun
Semasa pengangguran, bank pusat akan menurunkan nisbah rizab berkanun terhadap simpanan yang dibuat oleh bank perdagangan. Ini akan menyebabkan keupayaan bank untuk memberi pinjaman meningkat. Kuasa beli masyarakat meningkat dan peluang pekerjaan turut meningkat untuk memenuhi permintaan agregat masyarakat. Maka, pengangguran akan berkurang.

Menurunkan kadar bank atau kadar diskaun
Semasa pengangguran, bank pusat akan menurunkan kadar bank terhadap bank perdagangan. Kadar bank merupakan kadar bunga yang dikenakan oleh bank pusat terhadap pinjaman bank perdagangan. Apabila bank pusat menurunkan kadar bank, ini akan menyebabkan pelaburan bank perdagangan menurunkan kadar bunga terhadap pinjaman orang ramai. Kadar bunga yang rendah menyebabkan pelaburan meningkat. Ini menyebabkan peluang pekerjaan meningkat dan pengangguran akan berkurang.

Membeli surat jaminan kerajaan
Semasa pengangguran, bank pusat akan membeli surat jaminan kerajaan daripada bank perdagangan dan orang ramai. Ini akan menyebabkan penawaran wang bertambah dalam masyarakat. Kuasa beli masyarakat meningkat dan peluang pekerjaan turut meningkat untuk memenuhi permintaan agregat masyarakat. Maka, pengangguran akan berkurang.