(a) Apakah maksud globalisasi?..........[2]
(b) Terangkan dua faedah yang dapat dinikmati sesebuah negara daripada globalisasi...........[4]


(a) Globalisasi ialah peningkatan salingan bergantungan antara negara-negara dari segi ekonomi, sosial dan politik. Globalisasi melibatkan aktiviti pengaliran barang dan perkhidmatan, wang dan modal di peringkat antarabangsa.

(b) Dua faedah yang dapat dinikmati oleh sesebuah negara daripada globalisasi ialah:
Pilihan pengguna bertambah
Globalisasi menyebabkan kemasukan barang import yang semakin meluas di pasaran. Keadaan ini menyebabkan pilihan pengguna semakin bertambah. Mereka dapat membeli barang import di dalam negara tanpa perlu mendapatkan barang tersebut dari pasaran luar negara. Persaingan antara pengeluar di pasaran akan menggalakkan pengeluar untuk meningkatkan kualiti barang yang dikeluarkan. Ini akan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Harga barang lebih murah
Kemasukan barang import yang semakin meluas di pasaran menggalakkan persaingan harga yang semakin sengit di kalangan pengeluar barang yang sama. Keadaan ini menyebabkan barang tersebut akan dijual pada harga yang lebih rendah di pasaran. Harga barang yang lebih rendah akan menguntungkan pengguna kerana kuasa beli mereka meningkat.