Pertumbuhan industri perabot jatuh tahun depan

Utusan Online

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Kadar pertumbuhan perniagaan dan nilai eksport perabot di Malaysia diramal jatuh tahun depan disebabkan oleh krisis ekonomi selepas diunjur positif tahun ini antara lima hingga 10 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Promosi Perabot Malaysia (MFPC), Au Leck Chai berkata, penurunan itu berlaku kerana sebahagian besar produk itu dieksport ke Amerika Syarikat (AS) yang mengalami kegawatan ekonomi tahun depan.

Leck Chai berkata, pada tahun ini, pertumbuhan industri perabot masih kukuh kerana pelanggan sudah membuat tempahan pada awal tahun.

''Fenomena kehilangan kerja, sikap berhati-hati dalam berbelanja dan kebimbangan terhadap pengecilan saiz syarikat pada tahun depan akan menyebabkan orang ramai tidak lagi membeli perabot dan keadaan ini akan memberi kesan kepada industri perabot tempatan.

"Kita terpaksa memikirkan pelbagai strategi untuk meningkatkan industri perabot di Malaysia, termasuk menggiatkan promosi dan iklan supaya tidak ramai pengusaha terutamanya pengusaha kecil dan sederhana (PKS) terpaksa menutup perniagaan masing-masing,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada seminar perabot yang berlangsung selama sehari di sini, hari ini.

Malaysia merupakan antara 10 negara pengeluar terbesar perabot di dunia dan menyumbang dua peratus daripada jumlah pengeluaran perabot sejagat.

Katanya, sebanyak 90 peratus daripada perabot tempatan dieksport tahun lalu berjumlah RM8.55 bilion dan sebanyak RM6.44 bilion pulangan dijana daripada industri itu untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Nilai eksport Malaysia ke AS dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berjumlah RM1.715 bilion, jatuh RM557 juta kepada RM2.272 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Leck Chai berkata, secara keseluruhan, jumlah nilai eksport perabot dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berjaya mencapai sasarannya.

Katanya, pihaknya yakin dalam suku ke empat tahun ini, nilai eksport akan melebihi RM1.5 bilion dan kira-kira RM8 bilion bagi nilai secara keseluruhan.

''Sedikit kemerosotan akan berlaku pada keseluruhan nilai eksport perabot sehingga akhir tahun ini dan ia dijangka lebih buruk pada tahun depan,'' Leck Chai.

Sementara itu, beliau berkata, bagi menangani masalah pengurangan permintaan pihaknya akan menganjurkan seminar-seminar kepada pengusaha perabot untuk meningkatkan lagi kualiti produk mereka.

Katanya, perabot Malaysia mempunyai mutu yang baik, tetapi terdapat sedikit kekurangan daripada segi reka bentuk yang perlu diambil kira dalam aspek pemasaran.

Sehubungan itu, Leck Chai memberitahu, lebih ramai pereka bentuk perabot dari negara-negara Eropah dan AS akan melatih para pengusaha perabot tempatan untuk mempertingkatkan reka bentuk perabot bagi menepati selera pelanggan dari negara-negara barat.

"Ia merupakan proses berterusan dalam memastikan pengusaha perabot tempatan berkeupayaan menghasilkan reka bentuk yang moden, terkini dan diminati para pelanggan dari negara-negara barat,'' katanya.

Leck Chai berkata, pihaknya merancang untuk mencari pasaran baru di negara-negara Eropah yang lain seperti di Rusia, Poland dan Ukraine.