Komposisi, Arah Aliran dan Perubahan Struktur Eksport Barang Malaysia

  1. Komposisi Eksport Barang Malaysia terdiri daripada barang pertanian seperti getah. kayu balak, minyak kelapa sawit dll, Barang logam/ Galian seperti bijih timah, petroleum, gas asli cecair dll, dan Barang Perkilangan seperti kelengkapan pengangkutan, makanan, mesin-mesin elektrik dan alat ganti dll.
  2. Komposisi eksport Malaysia telah mengalami perubahan besar dalam jangka masa 1960-2000. Peratus sumbangan barang pertanian berkurangan dan peratus sumbangan barang perkilangan bertambah.
  3. Kemerosotan sumbangan barang pertanian berlaku kepada eksport getah manakala eksport kayu balak dan minyak kelapa sawit menampakkan kenaikan.
  4. Eksport bijih timah telah merosot semenjak tahun 1970 disebabkan oleh penutupan lombong-lombong bijih timah. Kepentingan eksport bijih timah telah diambil alih oleh eksport petroleum.
  5. Eksport barang perkilangan telah meningkat daripada 8.5% pada 1960 kepada 88.6% pada 2000. Pertambahan yang nyata berlaku dalam pengeksportan mesin-mesin elektrik dan alat ganti.
  6. Eksport barang perkilangan yang semakin meningkat menggambarkan perubahan dalam struktur pengeluaran Malaysia yang mengurangkan pergantungan kepada keluaran komoditi utama. Dasar mempelbagaikan ekonomi yang dilaksanakan untuk mengurangkan kesan buruk ketidakstabilan harga komoditi utama telah menggalakkan perkembangan pesat dalam jumlah eksport serta perluasan barang eksport baru.
  7. Perkembangan pesat dalam eksport barang perkilangan terjadi selepas penubuhan zon-zon perdagangan bebas pada tahun 1972. Mesin-mesin elektrik dan alat ganti adalah keluaran utama.
  8. Pada tahun 1980, komposisi eksport barang Malaysa dibezakan kepada barang utama (barang pertanian dan bahan logam) dan barang perkilangan. Eksport barang utama ialah penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport pada 1960-1985 walaupun sumbangannya semakin merosot. Mulai tahun 1990, eksport barang perkilangan telah menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport Malaysia.
  9. Prestasi eksport barang utama dan barang perkilangan terus meningkat pada abad ke-21 kerana struktur eksport yang semakin luas dan kedudukan barang perkilangan yang lebih kompetitif di pasaran antarabangsa.
  10. Namun begitu, Malaysia perlu mempelbagaikan lagi komposisi barang perkilangan untuk mengurangkan kesan negatif pengaruh luar yang boleh menjejaskan eksport negara.