Jenis-Jenis Sekatan

Tarif

Tarif merupakan cukai yang dikenakan oleh kerajaan terhadap barang dan perkhidmatan yang diimport. Apabila tarif import dikenakan, harga import meningkat dan kuantiti barang import yang diminta akan jatuh.

Tarif Ad-Valorem − Cukai import yang dihitung berdasarkan harga barang import.

Jika tarif ialah 50%, maka barang import yang bernilai RM20,000 dikenakan jumlah cukai sebanyak RM10,000, manakala barang import yang bernilai RM40,000 dikenakan jumlah cukai sebanyak RM20,000.

Tarif Spesifik − Cukai tetap yang dihitung berdasarkan kuantiti barang import.

Jika tarif ialah RM30 setiap 100 kilogram beras import, cukai import beras tersebut adalah tetap tidak kira harga beras import naik atau turun.

Sekatan tarif akan

  1. menaikkan harga import barangan,
  2. mengurangan permintaan tempatan terhadap barangan import,
  3. menambahkan permintaan tempatan terhadap barangan pengganti import,
  4. memperbaiki imbangan perdagangan dan imbangan pembayaran negara,
  5. menambahkan pendapatan negara.

Sekatan Bukan Tarif

Kuota

Kuota merupakan tindakan kerajaan mengehadkan kuantiti maksimum barang atau perkhidmatan yang boleh diimport dari luar negara untuk satu tempoh masa tertentu.

Sekatan kuota akan mengurangkan dan menghadkan jumlah kuantiti import. Apabila kuota dikenakan, penawaran barang import akan jatuh. Kesannya, kuantiti barang import dalam pasaran tempatan akan berkurangan.

Kekurangan barang import dalam pasaran tempatan akan mendorong pengguna untuk membeli lebih banyak barang tempatan.

Sekatan kuota lebih berkesan daripada tarif untuk mengurangkan persaingan dari luar apabila permintaan tempatan terhadap barang import tidak anjal harga, iaitu keadaan di mana peratus penurunan kuantiti diimport adalah sedikit sahaja walaupun harga import barangan meningkat dengan mendadak.

Kawalan Pertukaran Asing

Kawalan pertukaran asing merupakan tindakan kerajaan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing. Bank pusat mengawal terhadap jumlah pelbagai mata wang asing yang dapat dibeli oleh pengimport tempatan.

Mata wang asing diperlukan untuk mengimport barang dari luar negara. Bagi mengurangkan import dari sesebuah negara, kerajaan akan mengurangkan penawaran mata wang negara tersebut dalam pasaran.

Apabila BNM mengurangkan jumlah Dolar Amerika yang dapat dibeli oleh pengimport Malaysia, import dari Amerika akan disekat.

Apabila BNM menghadkan hanya RM1000 per orang yang boleh dibawa ke luar negara, jumlah perbelanjaan di luar negara akan dikurangkan.

Kawalan pertukaran asing dapat menggalakkan perkembangan industri pengganti import dalam negara.

Subsidi Eksport

Bantuan kewangan daripada kerajaan kepada pengeluar yang berorientasikan eksport.

Subsidi eksport akan mengurangkan tanggungan kos pengeluar dan seterusnya menurunkan harga barang eksport.

Subsidi eksport akan meninggikan kuasa persaingan barang eksport dan menyekat persaingan eksport negara asing di pasaran antarabangsa.

Pemberian subsidi eksport oleh kerajaan Malaysia kepada pengeluar minyak kelapa sawit di Malaysia telah meningkatkan eksport minyak kelapa sawit Malaysia dan mengurangkan eksport minyak kacang soya Amerika di pasaran antarabangsa.

Embargo

Dasar pemulauan yang dilaksanakan oleh kerajaan terhadap import dari negara tertentu.

Semua pihak berkuasa tempatan di pelabuhan, lapangan terbang dan stesen keretapi melarang barang dari negara yang dikenakan embargo dibawa masuk ke dalam negara.

Sekatan embargo bertujuan menyekat import dan seterusnya menjejaskan ekonomi negara musuh atau negara yang melanggar prinsip kemanusiaan dunia.

Piawai Kesihatan dan Keselamatan

Sekatan dalam bentuk peraturan mengawal jenis barang import.

Barang import yang tidak mematuhi Piawai Kesihatan Dan Keselamatan kerajaan tidak boleh dibawa masuk ke dalam negara.