Showing posts with label Dasar Kewangan. Show all posts
Showing posts with label Dasar Kewangan. Show all posts

Terangkan tiga langkah bagaimana dasar kewangan dapat mengatasi masalah inflasi dalam sesebuah ekonomi---[6]

Langkah-langkah dasar kewangan untuk mengatasi masalah inflasi adalah dengan mengurangkan penawaran wang dan menaikkan kadar bunga di pasaran. Tiga daripadanya ialah:

Menaikkan nisbah rizab berkanun
Semasa inflasi, bank pusat akan menaikkan nisbah rizab berkanun terhadap simpanan bank perdagangan di bank pusat. Ini menyebabkan keupayaan bank perdagangan untuk memberi pinjaman berkurang. Kuasa beli masyarakat akan berkurang dan permintaan agregat masyarakat turut berkurang. Maka, inflasi dapat diatasi.

Menaikkan kadar bank atau kadar diskaun
Semasa inflasi, bank pusat akan menaikkan kadar bank terhadap pinjaman yang diberikan kepada bank perdagangan. Apabila bank pusat menaikkan kadar bank, ini akan menyebabkan bank perdagangan menaikkan kadar bunga terhadap pinjaman orang ramai. Kadar bunga yang tinggi menyebabkan kos meminjam meningkat dan pinjaman akan berkurang. Perbelanjaan isi rumah turut berkurang. Maka, inflasi dapat diatasi.

Menjual surat jaminan kerajaan
Semasa inflasi, bank pusat akan menjual surat jaminan kerajaan kepada bank perdagangan dan orang ramai. Ini akan menyebabkan penawaran wang berkurang dalam masyarakat. Kuasa beli masyarakat akan berkurang dan permintaan agregat masyarakat turut berkurang. Maka, inflasi dapat diatasi.

Terangkan Tiga Cara Bagaimana Dasar Kewangan Dapat Mengatasi Masalah Pengangguran………[6]

Tiga cara bagaimana dasar kewangan dapat mengatasi masalah pengangguran ialah:

Menurunkan nisbah rizab berkanun
Semasa pengangguran, bank pusat akan menurunkan nisbah rizab berkanun terhadap simpanan yang dibuat oleh bank perdagangan. Ini akan menyebabkan keupayaan bank untuk memberi pinjaman meningkat. Kuasa beli masyarakat meningkat dan peluang pekerjaan turut meningkat untuk memenuhi permintaan agregat masyarakat. Maka, pengangguran akan berkurang.

Menurunkan kadar bank atau kadar diskaun
Semasa pengangguran, bank pusat akan menurunkan kadar bank terhadap bank perdagangan. Kadar bank merupakan kadar bunga yang dikenakan oleh bank pusat terhadap pinjaman bank perdagangan. Apabila bank pusat menurunkan kadar bank, ini akan menyebabkan pelaburan bank perdagangan menurunkan kadar bunga terhadap pinjaman orang ramai. Kadar bunga yang rendah menyebabkan pelaburan meningkat. Ini menyebabkan peluang pekerjaan meningkat dan pengangguran akan berkurang.

Membeli surat jaminan kerajaan
Semasa pengangguran, bank pusat akan membeli surat jaminan kerajaan daripada bank perdagangan dan orang ramai. Ini akan menyebabkan penawaran wang bertambah dalam masyarakat. Kuasa beli masyarakat meningkat dan peluang pekerjaan turut meningkat untuk memenuhi permintaan agregat masyarakat. Maka, pengangguran akan berkurang.