Melindungi Industri Penting/ Strategik
Industri beras dan industri senjata api perlu dilindungi oleh kerajaan kerana amat penting sewaktu kecemasan, contohnya ketika negara diserang oleh negara lain.
Sekatan seperti tarif dikenakan untuk memastikan industri-industri ini berkembang maju dan mampu menghasilkan bekalan yang mencukupi kepada negara.
Melindungi Industri Muda
Industri muda merupakan industri baru yang masih belum berkembang. Berbanding dengan industri maju, industri muda mempunyai daya saing yang rendah. Keluaran industri muda belum setanding dari segi kualiti dan harga.
Industri muda masih belum menikmati ekonomi bidangan dan kos purata pengeluaran masih tinggi daripada industri barang import.
Industri muda masih belum mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada orang ramai. Pasarannya masih terhad dan keupayaan pengeluarannya masih di bawah tingkat optimum.
Sekatan terhadap kemasukan barang import seperti tarif import dan kuota dikenakan untuk membolehkan industri muda tempatan berkembang dan berkeupayaan bertanding dengan industri asing.
Contoh industri muda — industri kereta Proton di Malaysia.
Mempelbagaikan Ekonomi Negara
Kebanyakan negara sedang membangun mengamalkan kegiatan ekonomi tradisional/ kegiatan pertanian yang rendah daya pengeluaran dan pendapatannya.
Usaha mempelbagaikan ekonomi negara, khasnya memajukan industri perkilangan, bertujuan mengurangkan pergantungan negara pada import dan eksport tertentu, menaikkan daya pengeluaran dan pendapatan negara, dan menstabilkan ekonomi negara.
Untuk menjayakan usaha mempelbagaikan ekonomi negara, kerajaan melaksanakan dasar menyekat import barangan yang bersaing dengan keluaran tempatan seperti mengenakan tarif import atau kuota import, dan dasar menggalakkan eksport untuk meninggikan daya persaingan barangan eksport negara di pasaran antarabangsa.
Meningkatkan Guna Tenaga
Perkembangan industri-industri tempatan terutamanya industri perkilangan dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan.
Kadar pengangguran dalam sesebuah negara dapat dikurangkan.
Memperbaiki Imbangan Pembayaran Defisit (Negatif )
Masalah imbangan pembayaran defisit wujud apabila nilai import sesebuah negara melebihi nilai eksportnya.
kebanyakan negara membangun mempunyai jumlah perbelanjaan import melebihi jumlah pendapatan eksport.
Oleh itu, untuk mengatasi masalah ini, kerajaan harus berusaha mengurangkan nilai import dan meningkatkan nilai eksport. Nilai import dapat dikurangkan dengan mengadakan sekatan terhadap kemasukan barang import melalui tarif import, kuota dan kawalan pertukaran asing.
Galakan-galakan eksport seperti subsidi eksport digunakan untuk menambahkan nilai eksport.
Menentang Dasar Lambakan Negara Asing
Dasar lambakan dilaksanakan oleh sesetengah negara untuk memonopoli pasaran negara dagangnya dengan menjual barangan pada harga yang jauh lebih rendah.
Ini menyebabkan industri barang berkaitan di negara dagangnya kehilangan pasaran. Akibatnya, masalah pengangguran berlaku.
Sekatan import seperti tarif import atau kuota bertujuan melindungi industri tempatan yang mengeluarkan barang berkaitan.
Menambah Pendapatan Kerajaan
Duti import/tarif dikenakan untuk menambahkan pendapatan kerajaan. Ini dapat membiayai lebihan perbelanjan kerajaan.
Alasan Berdikari
Sekatan import dapat memajukan industri penggantian import dalam negara.
Subsidi eksport dapat memajukan industri berorientasikan eksport.
Negara dapat berdikari tanpa terlalu bergantung pada eksport-import apabila industri penggantian import dan industri berorientasikan eksport dapat dimajukan dan ekonomi negara dapat dipelbagaikan.
Dengan itu, kestabilan ekonomi negara terjamin tanpa terlalu bergantung kepada keadaan melambung meleset di negara-negara asing.