Kajian perubahan struktur ekonomi Malaysia perlu dibuat berdasarkan sumbangan setiap sektor ekonomi kepada KDNK dan guna tenaga Malaysia melalui masa. Berkaitan dengan perkembangan guna tenaga di Malaysia, kadar pengangguran adalah pada paras yang rendah dan terkawal. Sektor pembuatan dan perkhidmatan bukan kerajaan merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan guna tenaga di Malaysia sejak tahun 1980-an.
Malaysia mampu mengharungi cabaran perkembangan ekonomi global yang semakin menurun sejak awal tahun 2001 kerana struktur ekonomi yang lebih pelbagai (diversified). Malaysia tidak semata-mata bergantung pada industri elektronik untuk menjana pertumbuhan. Asas sektor pembuatan Malaysia kini lebih luas. Selain itu, ekonomi Malaysia telah maju ke arah kegiatan berasaskan pengetahuan sebagai punca pertumbuhan baru. Koridor Raya Multimedia (MSC) telah meletakkan asas bagi membawa negara ke arah perkembangan dalam era ke-21.
Meskipun persekitaran luaran kian sukar, asas struktur ekonomi Malaysia masih kukuh dengan pertumbuhan ekonomi mulai tahun 2002 dijana oleh sektor domestik melalui peningkatan penggunaan dan pelaburan untuk merangsang pertumbuhan sektor pembuatan, perkhidmatan mahupun sektor pertanian dan perhutanan dll.