Kelemahan KNK Mengukur Taraf Hidup Rakyat

Menurut ahli ekonomi, taraf hidup sesebuah negara dapat diukur dengan menggunakan KNK. Biasanya, negara yang mempunyai nilai KNK yang tinggi akan menikmati taraf hidup yang tinggi, dan sebaliknya, negara yang mempunyai nilai KNK yang rendah akan menikmati taraf hidup yang rendah. Namun, penggunaan nilai KNK untuk membandingkan taraf hidup penduduk antara negara mempunyai beberapa kelemahan:

Perbezaan Tingkat Harga Umum

Kenaikan KNK boleh disebabkan kenaikan tingkat keluaran atau kenaikan tingkat harga umum dalam sesebuah negara. Oleh itu, negara yang mengalami tingkat harga umum yang tinggi akibat masalah inflasi tidak semestinya menikmati taraf hidup yang tinggi walaupun nilai KNK negara tersebut lebih tinggi daripada negara lain. Oleh itu, untuk membandingkan taraf hidup penduduk antara negara dengan lebih tepat, konsep KNK benar perlu digunakan.

KNK benar = (Indeks harga tahun asas/Indeks harga tahun semasa) − KNK nominal

Perbezaan Corak Agihan Pendapatan

Taraf hidup penduduk sesebuah negara juga bergantung pada corak agihan pendapatan dalam negara tersebut. Agihan pendapatan yang lebih sama rata membolehkan KNK dikongsi dengan lebih saksama antara penduduk. Sebaliknya, agihan pendapatan yang tidak sama rata menyebabkan sebahagian besar KNK dinikmati segelintir penduduk sahaja. Jadi, negara yang mempunyai KNK yang tinggi tidak semestinya menggambarkan taraf hidup penduduk yang tinggi jika agihan pendapatan dalam negara tersebut adalah tidak sama rata.

Perbezaan Komposisi KNK

Terdapat negara yang mengalami kenaikan KNK kerana menjalankan aktiviti yang tidak menyumbang kepada peningkatan taraf hidup penduduk seperti perjudian dan pelacuran. Oleh itu, bagi menjamin kenaikan KNK menyumbang kepada kenaikan taraf hidup penduduk sesebuah negara, komposisi KNK harus meliputi pendapatan daripada aktiviti yang memanfaatkan rakyat negara tersebut seperti perbelanjaan pembangunan.